IBUBAPA

Share this article:

Assalamualaikum warga AK,

Betapa peritnya seorang ibu bertarung nyawa melahirkan seorang zuriat, betapa sabarnya seorang ayah membanting tulang mencari rezeki, itulah suatu bentuk tarbiah dan didikan yang sempurna daripada Allah untuk mengajar hamba-hambanya menghargai jasa dan pengorbanan besar ibubapa mereka, yang mana kesinambungan pengajaran ini akan berterusan kepada anak-anak, cucu-cucu, dan seterusnya.

Berkat susu anugerah Allah ini, mudah-mudahan menjadi darah daging yang mampu melembutkan jiwa anak-anak dalam menerima setiap didikan yang sempurna daripada ibubapa. Selain azan dan iqamah diperdengarkan kepada bayi, seawal bacaan Basmalah setiap kali disuakan susu, mudah-mudahan doa itu menjadi ubat untuknya, jua diberkati kehidupannya sentiasa.

Menjadi ibubapa terbaik untuk anak-anak bukanlah perkara yang mudah. Ia suatu tugasan yang berat, lebih-lebih lagi kepada seorang ibu yang sinonim dalam memahami perkembangan semasa anak-anak ini. Ibu tentunya lebih faham karenah anak-anak kerana keakraban mereka sejak dari dalam kandungan lagi.Gunapakai masa yang masih panjang selepas itu untuk memberikan ilmu terbaik kepada mereka, mudah-mudahan dengan doa yang berpanjangan ada rezekinya nanti.

Sungguh menjadi kewajipan bagi setiap ibubapa memberi didikan sehabis baik kepada anak-anak, kerana mereka ini ‘datangnya’ dalam keadaan tidak tahu apa-apa. Mereka tidak tahu yang mana baik, yang mana buruk. Akal kecil mereka belum cukup elok untuk memikirkan bagaimana mahu menjadi hamba Allah yang sempurna. Pada setiap saat mereka amat perlu kepada tunjuk ajar daripada ibubapa yang berilmu.

Tanggungjawab ibubapa bukan sekadar memberi makan, minum, pakai, dan apa jua perkara asas, tetapi ia lebih dari itu, tentunya ia melibatkan pendidikan yang berkaitan dengan perkembangan mental, rohani dan jasmani anak-anak.

Tentunya semua ibubapa tidak mahu melihat anak yang disayangi tiba-tiba bertukar watak kepada seorang yang keras kepala, kurang adab, pemalas, dan apa jua sifat yang buruk, lebih-lebih lagi sejak akhir-akhir ini pengaruh dadah sintetik merupakan suatu ancaman baru kepada masyarakat, yang mula berleluasa seawal umur sekolah rendah, selepas rokok menghantui kehidupan anak-anak ini. Tidak kurang juga di bandar-bandar tumpuan, minuman keras juga menjadi menu dalam kehidupan anak-anak muda kita hari ini ketika bersosial. Kebejatan ini tidak pernah mengenal jantina, lantas merebak pula kepada kes-kes zina, yang tiada berhenti di situ, malah ia menular kepada kes buang bayi merata-rata pula yang boleh dikatakan meningkat bilangannya saban tahun.

Mendidik anak-anak memerlukan tahap kesabaran yang tinggi. Ganjarannya nanti insyaAllah sangat berbaloi, baik di dunia mahupun akhirat, andainya anak-anak itu terdidik seeloknya.

Jadikan mereka anak-anak yang sentiasa mendoakan kesejahteraan ibubapa, baik ketika kita masih ada di dunia fana ini, mahupun yang telah menghadap Ilahi. Didiklah anak-anak sehingga mereka mampu menjadi penyelamat kepada setiap ibubapa yang telah kembali ke Rahmatullah.

Kerisauan sentiasa menghantui setiap ibubapa apabila anak-anak mula melangkah ke dunia yang sebenar. Paling ditakuti adalah apabila mereka mula memiliki kawan-kawan yang bermasalah.Pengaruh kawan-kawan ini adalah sangat hebat. Jikapun mereka telah menerima ilmu yang sepatutnya di rumah, namun jiwa yang sedang galak itu mungkin boleh membinasakan masa depan mereka. Mungkin di rumah mereka boleh menjadi baik, tetapi siapa tahu jika mereka tiba-tiba saja boleh bertukar menjadi rakus menghambat keseronokan dunia yang tumbuh melata. Lebih-lebih lagi jika mereka sudah berani memijak tempat-tempat yang tidak sepatutnya,  melonjak kealpaan dengan pelbagai kemaksiatan, mereka sudah jauh terjebak dalam dunia yang penuh nafsu syaitan ini.

Jika diperhatikan masih banyak ibubapa yang leka dan lalai dalam memberi didikan sempurna kepada jiwa anak-anak. Jawapannya mudah, pelbagai anasir luar mudah merebak kepada jiwa anak-anak ini, samada lelaki mahupun perempuan. Ia tentunya suatu musibah yang besar diatas kealpaan ibubapa dalam menjaga amanah Allah ini.

Andai kita ibubapa yang kurang agamanya, jangan sesekali biarkan anak-anak kita menjadi sebagaimana kita. Beri mereka peluang seluas-luasnya untuk meneroka bidang agama. Jadikan mereka pembimbing kita dihari tua nanti. Hormati juga guru-guru yang memberi ilmu kepada anak-anak ini.

Islamic Articles

Leave a Reply

Be the First to Comment!

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commentators to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments. If you need to contact our Jamath EXCO to share any ideas or issues please use our contact us form.
Notify of

wpDiscuz