Kuala Lumpur, Malaysia

SOLAT

SOLAT


  September 25,2013 

Tonggak utamanya adalah solat, dan dituruti dengan pengamalan amalan-amalan wajib yang lain. Solat adalah tiang agama. Solat lima waktu yang wajib ditunaikan demi menegakkan agama. Jika solat ini diabaikan walaupun satu waktu sahaja, walaupun tidak tertunai sesekala sahaja, ia sudah menggambarkan bahawa kita seorang Muslim yang telah mengabaikan agamanya dengan sewenang-wenangnya.

Solat adalah satu bentuk disiplin yang diajar sendiri oleh Islam. Selain dari memperuntukkan waktu untuk berbicara dengan Maha Pencipta, solat juga akan mampu mencegah kita dari melakukan sebarang perkara mungkar kepada Allah s.w.t. hasil dari ingatan yang berkali-kali terhadapNya pada setiap hari. Jika anak-anak kita telah dididik sempurna tentang solat lima waktunya, mudah-mudahan terhindarlah keinginan nafsu mereka untuk cuba melakukan perkara-perkara yang tidak sewajarnya sejak usia muda lagi.

Ambil kesempatan berharga ketika anak-anak masih dalam penjagaan dan pemerhatian langsung daripada kita, kelak apabila mereka sudah remaja mahupun meningkat dewasa dan langkahnya makin panjang, tentunya agak sukar untuk kita mengawasi gerak laku mereka lagi. Maka didikan yang sempurna terutamanya kewajipan solat lima waktu yang telah menjadi amalan wajib mereka selama ini, insyaAllah akan menjadi ‘pendinding’ utuh kepada jiwa anak-anak kita disaat berjauhan dari pandangan mata ibubapa.

Selain mengerjakan solat berjamaah di rumah, anak-anak juga perlu diajar untuk berjamaah di masjid. Selain mewujudkan rasa cinta kepada rumah Allah, berjamaah di masjid juga mampu mengajar anak-anak bersosial dengan jamaah yang lain. Mereka akan saling mengenali diantara satu sama lain yang secara tidak langsung akan mewujudkan silaturrahin sesama Muslim.

Selain itu jadikan amalan membaca al-Quran sebagai satu rutin wajib kepada anak-anak. Ajari mereka seawal usia untuk mengenal huruf-huruf al-Quran kala lidah masih lembut untuk mengalunkannya. Biarlah jangan terlewat, kelak nanti tidaklah kekok bacaannya apabila umur sudah meningkat. Jadikan rumah kita bercahaya dengan ayat-ayat suci al-Quran semoga terhindarlah semua penghuninya daripada godaan syaitan la’natullah.

Anak-anak juga mestilah dipraktikalkan dengan adab dan akhlak yang baik. Semua aturcara hidup perlu ada tertibnya – bagaimana berbicara dengan sopan, adab ketika makan, pemilihan berpakaian, dan apa jua tingkah kita seharian. Ini semuanya protokol kehidupan seorang Muslim, yang akan memberi teladan kepada semua yang memandangnya untuk mereka lihat keindahan Islam itu sendiri.

 

Newsletter Sign Up

For Latest Updates