Saya merasa amat sedih & terkejut mendengar adanya orang Islam — yang pula sebuah parti Islam, PAS — mengenepikan maruah, dan mengorbankan ciri-ciri unik, iaitu patuh hanya pada hukum hakam Al-Quran & hadith, dan secara sukarela bertindak menerima kepimpinan seorang perempuan!

 Saya tidak cenderung kepada mana-mana parti politik. Di dalam pilihanraya-pilihanraya lepas, saya sentiasa memberi sokongan kepada dua-dua pihak — PAS untuk DUN dan UMNO untuk parlimen; atau sebaliknya untuk berlaku adil kepada kedua-dua pihak. Saya hanya bergiat dalam sebuah NGO Islam — Pertubuhan Informasi Islam Negeri Perak — yang mempunyai objektif:

a)  Perpaduan ummah;

b)  Dakwah, terutama kepada bukan Islam; dan

c)  Mempertahankan Islam dari segala tohmahan & serangan musuh-musuh Islam.

 Sedih & terkejut saya ialah dalam perarakan Bersih 2.0 yang lalu, PAS telah bergerak di bawah kepimpinan seorang perempuan! Saya sekali lagi ingin merakamkan saya tidak menentang atau sokong gerakan tersebut, kerana tanpa apa-apa pegangan politik, gerakan tersebut tidak memberi apa-apa kesan kepada saya. Apa yang membimbang & menyedihkan saya ialah PAS bergerak dibawah kepimpinan seorang perempuan, yang sangat dikutuk sekeras-kerasnya dalam Islam, seperti terdapat dalam hadis:

“La(n)i yaflaha kaumun wallau amrahum imra atun” — Bukhari.

(Sesuatu kaum di bawah kepimpinan perempuan tidak akan sekali-kali berjaya.)

 Kalau PAS juga merasa tidak puas hati dengan prosedur-prosedur pilihanraya, mereka seharusnya bertindak sendiri — seperti yang dilakukan oleh Perkasa dan Pemuda UMNO, terhadap perarakan Datuk Ambiga, walaupun tujuan mereka sama — untuk menyatakan tidak puas hati terhadap Suruhanjaya Pilihanraya. Dengan tindakan begitu, dapatlah dipelihara akan kehormatan & keagungan Islam; dan Muslim.

 Dengan bertindak di bawah kepimipinan seorang perempuan, yang ditolak bulat-bulat oleh Islam, memalukan orang Islam, sementara orang bukan Islam bertepuk tangan melihat betapa lemahnya orang-orang Islam. Dan, tindakan seperti ini mengambarkan kepada penyokong-penyokong kuat dari golongan orang Islam, bahawa PAS telah tergelincir dari landasan prinsip Islam, yang diperjuangkan selama ini.

Saya menaruh harapan apa yang telah berlaku menjadi satu pengajaran; dan tidak akan berlaku lagi di masa hadapan. Dengan PAS bertindak sendirian, adalah lebih terhormat, membanggakan, di bawah kepimpinan sendiri.

Berjaya atau tidak, ianya tetap mencerminkan semangat Islam dan sifat berani yang unik, yang akan mengukir sejarah tersendiri.