Kuala Lumpur, Malaysia

HARI IBU

HARI IBU


  May 10,2011 

Sempena Hari Ibu ini, saya mengambil kesempatan untuk nukilkan sedikit peringatan buat diri sendiri dan sahabat semua, bahawa perlunya kita membahagiakan kehidupan seorang ibu. Lebih-lebih lagi kepada mereka yang telahpun berada di pengakhiran usianya, belailah dengan penuh kasih sayang sejati daripada anak-anak. Luangkan sedikit masa yang berkualiti untuk terusan bertanya khabar mereka, walau kita sentiasa diulit kesibukan tuntutan duniawi yang seolah-olah tiada noktahnya.

Jangan sesekali mencipta pelbagai alasan demi membenarkan kesalahan masing-masing, untuk tidak menyerikan hari tua ibu sendiri. Secuai manapun kita, jangan sehingga menjadi anak derhaka yang mewajarkan seorang ibu tinggal di rumah kebajikan, tanpa kasih-sayang dan pembelaan sewajarnya daripada anak-anak.

Kita, yang bergelar anak – tidak kira dalam status mana sekalipun, kadang-kadang tanpa disedari sering juga alpa kepada hanya – seorang ibu – yang telah terlalu banyak berkorban dalam membesar dan mendidik kita selama ini, sehingga menjadi manusia yang berjaya didalam kehidupan masing-masing. Seringkalinya kita terlupa kepada pengorbanan besar seorang ibu.

Sebelum kita bersenang-lenang pada hari ini, seorang ibu telah lama melalui perit lelah yang jarang benar diungkit mereka. Sehingga hari inipun sukar untuk mendengar mereka merungut sekiranya dalam kesempitan, malah lebih rela melihat kita semua hidup bahagia dalam cara masing-masing.

Adakah kita mendoakan kesejahteraan mereka untuk kehidupan dunia dan akhirat sana? Seringkalinya kita memohon dimurahkan rezeki untuk keluarga sendiri, tetapi dengan rasa tanpa bersalah mengetepikan doa buat mereka, sebagai balasan kepada pengorbanan seorang insan yang paling berharga dalam kehidupan kita selama ini.

Sebelum terlambat, hubungi mereka sebagai tanda ingatan yang tiada sempadannya. Selagi mereka masih bernyawa, buatlah yang terbaik untuk menghargai kasih sayangnya selama ini. Jangan sesekali mengabaikan perasaan mereka, yang semakin mudah tersentuh dengan pelbagai tindakan kita selama ini.

SELAMAT HARI IBU!

 

Newsletter Sign Up

For Latest Updates